Showing posts with label 'Ameeratuna. Show all posts
Showing posts with label 'Ameeratuna. Show all posts

Friday, 10 February 2012

Kelahirannya...

Kehadirannya benar-benar menambahkan keindahan 
warna-warna cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga kami. 

“Sayang, sayang percaya tak sayang dah jadi ibu sekarang?” tanya zauji mengusik.

Saya memandangnya sambil tersenyum. Ya, memang sukar nak percaya.

Masih teringat-ingat keadaan diri yang masuk ke bilik bersalin Hospital Kota Bharu tanpa sedikitpun ‘mindsetting’ untuk bersalin pada hari tersebut. Mana taknya, ketika itu saya belum berasa sebarang sakit. Pagi itu, zauji diajak ke hospital kononnya hanya untuk memastikan kandungan dalam keadaan baik setelah awal pagi tadi saya dapati diri saya basah dengan cecair yang saya tak pernah lihat sebelum-sebelum ini.

Namun ketika dalam bilik bersalin, tanpa diduga saya dapati kes saya kelihatan diberi perhatian sekali oleh doktor-doktor di situ. Seorang demi seorang doktor, termasuk pakar datang memeriksa keadaan saya. Hairan saya pada awalnya. Masih teringat diri bertanya kepada salah seorang doktor;

“Maaf, doktor. Nak bertanya serius ke keadaan saya ni? Kenapa ramai sangat doktor datang cek saya?”

Sambil tersenyum si doktor pun menjawab,
“Erm.. nak kata serius tak la sangat. Cuma sedikit pelik. Jarang jadi macam ni. Air ketuban memang dah habis, tapi awak tak sakit dan ‘jalan’ memang tak buka.”

“Jadi?”

“Jadi saya perlu panggil doktor-doktor lain termasuk pakar untuk buat keputusan.”

“Keputusannya apa ya doktor?”

“Biasanya macam ni, kita memang akan segerakan pembedahan. Lagipun baby awak songsang dan ini kelahiran sulung awak.”

Saya mengangguk diam, tanda bersetuju.

Saya masih ingat, ntah kenapa, tenang sekali perasaan saya ketika mendengar penerangan doktor itu. Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH. Nikmat sekali perasaan tenang itu. Bayangkan kalau Allah tidak memberikan saya perasaan itu. Tentu saya jadi gemuruh dan jadi tak menentu. Nau’zubillah. 


 'Aliyah Mukhlisah binti 'Ali 'Irfan - 11januari 2012

Awalnya, saya dijadualkan akan masuk ke bilik pembedahan pada pukul 3 petang. Namun, dengan izin ALLAH, kes emergency datang tak berhenti-henti di bilik bedah, yang menyebabkan kes saya dikebelakangkan sedikit. Subhanallah, ketika itu, sungguh hanya pada ALLAh saya bergantung. Saya tidak risau akan diri saya, cuma saya kisahkan anak kami dalam kandungan. Tetapi, apabila doktor itu berkata,

“Jantung baby awak masih kuat, maaf sangat, kami terpaksa dahulukan mereka yang lebih kritikal.”

Alhamdulillah.. sekali lagi, ntah kenapa, hati saya masih sangat tenang. Boleh aja hati ini ingin bergemuruh ketika itu, tetapi.. Alhamdulillah.. Allah menyelamatkan saya. Hati terus tenang. Saya banyakkan berzikir.

“Biarlah mereka dahulu ya baby. Insya-allah, kalau kita utamakan orang lain yang lebih perlu, Allah akan mudahkan urusan kita. Ummi tahu, anak ummi ni kuat, insya-allah.” Bisik saya pada baby Mukhlisah (yang masih dalam kandungan).


 Mukhlisah dalam dakapan Teita Pah pada hari kelima kelahirannya


Sampailah kesakitan itu mula datang pada jam 8 malam, setelah zauj disuruh keluar daripada bilik wad.

“Subhanallah, patutlah orang kata sakit nak bersalin ni.. sakit sungguh-sungguh sakit!” getus hati saya sambil terus bermunajat dan berzikir pada-Nya.

Melihat keadaan saya, bergegas nurse yang ada di situ memanggil doktor. Hal ini kerana kalau diikutkan, pembedahan saya harus dilakukan sebelum saya berasa sakit – bimbang kelahiran songsang yang akan membahayakan bayi. Namun, dengan izin Allah bilik pembedahan masih belum kosong ketika itu.

Dalam kesakitan, saya terus menerus bermunajat kepada-Nya agar dipermudahkan urusan. Hajat saya hanya satu, moga bayi saya selamat dilahirkan walaubagaimanapun caranya.

Dengan izin ALLAh taala, tepat jam 10.15pm, saya dimaklumkan bahawa bilik OT (operation theater) telah kosong, dan giliran saya untuk dibedah telah tiba. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH yang memudahkan urusan. 

Demikianlah. Detik-detik sebelum saya bergelar ibu. Alhamdulillah, percaya atau tidak, semua itu sungguh pantas berlalu.

Tepat jam 11.13pm, sebulan yang lalu (11 Januari 2012), lahirlah seorang bayi perempuan, ‘Aliyah Mukhlisah binti ‘Ali ‘Irfan yang telah merubah seluruh kehidupan saya dan zuaji. Kini, kami bukan lagi berdua, tetapi bertiga. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Kehadirannya benar-benar menambahkan keindahan warna-warna cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga kami.

Mukhlisah manis bergaya dengan set serba pink daripada kholah Irmanya. 
Terima kasih kholah!

Harapan saya, mudah-mudahan kami suami isteri dianugerahkan kemampuan untuk sabar dan bersungguh-sungguh dalam membesarkan dan mendidik puteri kami ini (dan anak2 seterusnya) seperti mana yang dikehendaki-Nya. Sungguh anak-anak itu adalah amanah daripada ALLAH buat kami. Mudah-mudahan dia akan membesar menjadi hamba ALLAH yang taat dan cintakan keimanan dan kebaikan. Paling penting, dia bakal menjadi saham yang menguntungkan akhirat kami suami isteri, ameen, insya-allah. 

Akhir kalam, ingin saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga buat;
  • ·         Bonda tercinta – yang dahulunya bersusah payah melahirkan, menyusukan, membesarkan saya empat beradik dengan penuh kasih sayang; yang tak pernah henti-henti menghulurkan doa yang tulus buat kami anak-anaknya; yang sabar menjaga saya ketika 20 hari pertama berpantang.
  • ·         Zauji                      – yang sentiasa menghulurkan cinta dan kasih sayang buat saya; yang menemani saya setiap kali saya memerlukannya; yang sabar dalam menghadapi karenah saya sepanjang mengandung, ketika saat melahirkan dan ketika berpantang.
  • ·         Mak, Abah dan adik-adik              – yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan buat kami; yang sudi menghulurkan bantuan saat kami memerlukan; yang tak jemu mendoakan kami sekeluarga
  • ·       Doktor-doktor dan nurse di HKB – yang sabar dan masih boleh tersenyum memeriksa dan membantu saya dalam kepenatan mereka bekerja seharian
  • ·         Sahabat dan teman –  yang sudi mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga; yang hadir membantu saat kami memerlukan.

Hanya Allah yang boleh membalas segala kebaikan-kebaikan kalian kepada diri ini dan keluarga. Moga Allah mengasihi dan mengasihani kalian lebih daripada kasih sayang dan kasihan kalian kepada kami. 

p/s: saya amat mengalu-alukan perkongsian tips keibubapaan (parenting) dan tarbiyatul awlad daripada sesiapa sahaja yang sudi berkongsi. Ucapan Terima kasih tak terhingga saya dahulukan di sini.


Sekian, wallahua'lam, wassalam. 


Sincere Servant

Kota Bharu, Kelantan
10 Februari 2012