Wednesday 20 April 2011

Sajak tertangguh: Hati dan susu


Semakin hari, semakin kuyakini

Benarlah, perjalanan hidup ini

Adalah perjalanan membawa hati

Untuk bertemu Yang Maha Kekal Abadi

Hati yang sejahtera, hati yang penuh redha

Janji-Nya, itulah hati yang akan diterima.


Lantas,

ku sematkan cita dan keazaman

agar dengan penuh cermat hatiku dibawa

menyusuri perjalanan kehidupan

yang ku sedar penuh pancaroba


Kata sang murabbi,

Sungguh perjalanan itu takkan pernah mudah disusuri

Ibarat aku diberi tugas membawa segelas susu

yang penuhnya terlalu

sambil perlu aku rentas sebuah sungai yang deras

dengan meniti sebatang titi yang kecil dan rapuh

Maka, apa mungkin ku lakukan?

untuk tidak biar susu itu tumpah

kerana gelas susu itu harus kupersembah

kepada yang Maha Sempurna

tanpa ada sebarang kurang dan cela


Sungguh, perlu aku sangat cermat,

Sungguh, perlu aku tingkatkan munajat

Kerana hanya dengan Cinta dan Rahmat-Nya,

aku akan terselamat

Insya-allah.


Plymouth, England, United Kingdom

16 april 2010



Setahun sudah sajak ini tertangguh untuk dikongsikan di laman ini. Tapi, tanpa tahu sebabnya kenapa, beit-beit sajak ini hadir kembali menziarahi minda dan hati sejak bangun pagi tadi. Kerana itu saya terfikir, adakah mungkin sampai masanya sajak ini perlu dikongsikan. Setelah muhasabah dan istikharah, perasaan untuk berkongsi itu semakin kuat. Moga-moga ALLAh redha. Dan, moga-moga ada manfaatnya untuk dunia akhirat saya dan kalian... Ameen, insya-allah.

Oh ya, sedikit perkongsian juga, beit-beit di atas diilhamkan ALLAH ketika dalam train perjalanan ke satu program Islam di bumi UK. Masih saya ingat, ketika itu, saya sedang bermuhasabah, merenung kembali perjalanan hidup ini, yang disusun indah oleh ALLAH swt. Dengan izin ALLAH, saya teringat nasihat salah seorang murabbi saya, Pn. Maimunah binti Hashim sebelum saya berangkat meninggalkan sekolah, untuk masuk ke alam IPT.

Ya, Itulah nasihat beliau, nasihat terkait HATI dan SUSU, yang beliau lafazkan penuh makna, sambil memandang wajah saya, dan memegang tangan saya. Dan nasihat itu menusuk ke dalam hati saya, dan Alhamdulillah, menjadi ibrah kepada saya sampai saat ini, setelah hampir 5 tahun masa berlalu. Subhanallah, itulah kesan sebuah nasihat yang ikhlas... Subhanallah, sangat rindu beliau! Semoga ALLAH rahmati dan redhai beliau dan keluarga beliau.

Apapun, semoga perkongsian pendek ini, memberi ibrah (pengajaran) dan manfaat kepada dunia dan akhirat saya dan kalian...

Wallahua'lam.

Wassalam wbt


Salam sayang kerana ALLAH,

Sincere Servant

Kuala Lumpur, Malaysia.

20 April 2011



Wednesday 13 April 2011

Nasihat-nasihat mereka...


12. 4 .11 – 9.30 malam

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Genap sebulan sudah saya bergelar isteri kepada pemuda pilihan ALLAH buat saya. Tiada ucapan lain yang patut saya lafazkan melainkan tasbih, tahmid dan takbir kepada ALLAH yang MAHA AGUNG. Hanya kepada ALLAH, kami sembah, dan hanya kepada-Nya, kami mohon pertolongan.

Alhamdulillah, saya tak sangka perkongsian lalu mengundang begitu banyak respon positif. Dan, yang paling membahagiakan saya ialah apabila mendapat tahu beberapa teman-teman TESL saya turut sudi menziarahi blog ini dan menyatakan betapa mereka beroleh ‘sesuatu’ yg bermakna daripada perkongsian saya. Antara mesej yang paling bermakna yang ditinggalkan kepada saya;


Salam maryam :)
Mesti pelik kan, knpa hntr msg sdgkn ble je jmpa maryam sndri? :)
sbrnya S br baca 'special for you', and I love the first bits sgt2 :)
thnk u sbb share. you both make it beautiful. indeed very beautiful.
Doakan S ye maryam? Supaya prjalanan itu and pngkhiran itu indah sprti kisah kamu.
Smoga kisah itu prngkhirannya syurga insyaAllah :)

P/s: klau dpn mata, msti dah hug maryam kuat2! I’ll do it when we meet later eh!


Subhanallah, Alhamdulillah, ALLAHuAkbar! Itulah hajat saya – melalui perkongsian itu, saya dan kalian semakin mendekatkan diri kepada ALLAH Yang MAHA LUAS KASIH SAYANGNYA. Insya-allah.

Oleh itu, insya-allah, untuk kali ini, saya berhajat berkongsi sesuatu yang pada saya sangat berharga iaitu kalimah nasihat beberapa ‘orang tua-tua’ sebelum dan selepas saya sah bergelar isteri.

Mungkin perkongsian ini dikhususkan untuk mereka yang akan memasuki alam rumahtangga tak lama lagi, insya-allah (maklumalah, lebih daripada 5 undangan walimatul urus saya terima untuk Mei dan Jun akan datang!).

Tapi, tentunya tak salah aja untuk sesiapapun mengutip manfaatnya, insya-allah. (“,) Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk saya dan kalian, wahai pembaca budiman!


Nasihat 1

“Maryam, kecantikan wajah bukanlah jaminan kebahagian dalam kehidupan rumah tangga. Santun dan kerendahan hati, serta sikap yang baik lebih bermakna daripada hanya memiliki kecantikan luaran.

Maryam, dalam rumahtangga, perlu ada kerendahan dan kelapangan hati. Kita yang memilih untuk membahagiakan hati atau mensengsarakannya.

Maryam, dalam rumahtangga, sikap ‘sentiasa ingin buat yang terbaik’ dan sikap ‘ingin membahagiakan’ harus sentiasa ada, walaupun hasilnya belum seberapa. Belum berjaya dalam mencuba TIDAK SAMA dengan tidak berjaya kerana tidak ingin mencuba.”

(Bonda tercinta 10 Nov 2010 – suatu pagi UK)


Nasihat 2

“Ukhtifillah, bersiaplah untuk mati (pulang bertemu ALLAH), kemudian bersiaplah untuk menjadi isteri.”

(Ukhti Amirah 28 Feb 2011 – nasihatnya sambil memegang erat tanganku)


Nasihat 3

“Jika kita tak bersedia untuk menghadapi PERBEZAAN, usah berfikir untuk BERPASANGAN (Berumahtangga)... Kerana hakikatnya, antara seorang lelaki, dan seorang perempuan itu, terlalu banyak perbezaannya... Maka, sabar, lapang dada dan ingat ALLAH itu kunci dalam menghadapi PERBEZAAN-PERBEZAAN itu.”

(Bonda tercinta 12 Mac 2011 – tengah hari sebelum akad)


Nasihat 4

“Perkahwinan ini hakikatnya bukanlah untuk bermain-main... seperti mana ALLAH menjadikan kita BUKANLAH untuk BERMAIN-MAIN (sila rujuk surah Al-mukminuun, ayat 115). Maka, laluilah dengan penuh SABAR. Tapi, pada makcik, tak cukup SABAR sahaja. LALUILAH dengan ILMU. Belajarlah apa yang boleh belajar.”

(Makcik Munirah 12 Mac 2011 – petang sebelum akad)


Nasihat 5

“Ini baru satu permulaan, anakku... Selamat menempuh segalanya... Belajar dan terus belajarlah!”

(Mak Long Dayang 12 Mac 2011

– beberapa minit selepas akad – bicaranya sambil memelukku dengan erat)


Nasihat 6

“Dalam berumahtangga ini, SABARlah kuncinya. Sabar dan terus bersabar! Insya-allah, Allah sesekali tak sia-siakan kamu.”

(Cikgu Rosmawar & Ustazah Aminah 13 Mac 2011 – sebelum walimatul urus)


Demikianlah antara nasihat-nasihat yang saya terima sebelum dan selepas majlis akad. Apa yang boleh saya simpulkan daripada 6 nasihat di atas ialah SABAR, ILMU dan SIKAP yang BAIK itu sangat besar impaknya kepada sebuah rumahtangga Muslim itu.

Insya-allah, akan saya sematkan nasihat-nasihat ini dalam hati dan ingatan sampai bila-bila. Sungguh, saya amat-amat menghargai setiap nasihat mereka ini. Pada saya, hadiah terbaik daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain, adalah nasihat-nasihat yang boleh menguntungkan akhirat sahabatnya. Semoga ALLAh memberkati hidup mereka yang sudi menasihati diri saya yang banyak kurangnya ini.

Oh ya, sebenarnya ada lagi nasihat-nasihat yang saya terima. Cuma yang di atas ini, adalah nasihat yang sempat saya catatkan dalam journal peribadi saya. Selebihnya, saya tak berapa ingat sangat. Oleh itu, pengajarannya, sila catat nasihat2 sahabat-sahabat pada anda! Kalau tak, begitulah jadinya... @_@

Apapun, sebagai yang masih sangat baru dalam menempuh alam yang disebut ‘penuh cabaran’ ini, saya masih amat mengalu-alukan nasihat-nasihat yang baik daripada sesiapa sahaja yang sudi menasihati diri ini. ILMU itu milik ALLAH, pengalaman itu hadiah dari ALLAH, maka, janganlah segan-segan untuk berkongsi ya! ;-)

Deen (agama/ cara hidup) itu adalah nasihat!


Wallahua’lam. Wassalam wbt.

Sincere Servant a.k.a. Hanisah Hazni

Kuala Lumpur, Malaysia