Thursday 2 June 2011

Berbekallah, adik-adikku... [1]

Kehidupan dunia IPT yang penuh CITRAWARNA yang tersendiri.


“Assalamua’laikum akak. Alhamdulillah, saya dapat IPG. Doakan saya.”

“Salam akak. Alhamdulillah, saya dapat asasi UiTM.”

“Salam kak. Saya akan ke KTD, insya-allah.”

Satu demi satu mesej daripada beberapa adik-adik lepasan SPM yang saya kenal masuk ke telefon bimbit. Semua mereka berkongsi keputusan dan tawaran IPT yang mereka peroleh. Nada mereka gembira – mungkin mereka dapat apa yang hajati. Alhamdulillah.

Sebagai seorang kakak, tentu saja saya tumpang gembira melihat mereka gembira. Namun begitu, jauh di sudut hati, saya tetap berasa bimbang. Bimbang mengenangkan bagaimanakah adik-adik ini nanti tatkala berhadapan dengan pelbagai cabaran di alam baru? Alam IPT yang mana disebut oleh Sheikh Imam Maududi sebagai ‘tempat penyembelihan iman-iman para pemuda Islam’ – sungguh ‘horror’ bunyinya kan?

Sambil membaca mesej-mesej mereka, tanpa di sangka, pengalaman-pengalaman peribadi sepanjang di IPTpun muncul di benak fikiran - berputar laju kisa suka, duka, pahit dan manis yang saya pernah lalui. Masya-allah. Sungguh, sememangnya saya perlu akui, kalau bukan kerana rahmat ALLAh, pasti saya sudah lama larut seperti kebanyakan manusia lain. Segala puji bagi ALLAH yang menyelematkan saya daripada fitnah yang melata.

Maka, di sini ingin saya nukilkan di sini beberapa cabaran yang paling ketara saya hadapi sepanjang belajar di alam IPT, khususnya IPT dalam Negara (note: menurut pengalaman saya, belajar dalam Negara lebih mencabar daripada luar Negara). Mudah-mudahan, ada manfaatnya kepada para pembaca, khususnya adik-adik yang sedang bersiap untuk masuk ke IPT pilihan masing-masing.

Pengalaman 1 – disuruh menari didepan khalayak

Menari? Saya disuruh menari di atas pentas, dan disaksikan oleh ramai orang??

Oh, itulah pengalaman yang paling tak dapat saya lupakan.

Cuba teka menari dengan lagu apa?

Asmaradana!

Memang pengalaman yang menyakitkan.

Walaupun, Alhamdulillah, saya berjaya ‘escape’ daripada arahan ‘jijik’ itu. Tapi, saya akui, silap saya kerana ‘tertipu’ dengan ‘garang-garang’ para fasilitator. Memang saya tak menari, tapi saya kene jadi MC untuk malam penuh ‘jahiliyyah’ itu! Sungguh, tidaklah saya harapkan melainkan pengampunan daripada ALLAh atas kelemahan saya ketika itu.

Maklumlah, peristiwa itu berlaku di akhir minggu orentasi. Seminggu pertama minggu orentasi, tentu saja ramai yang masih ‘blurr’ dengan suasana baru – dan itu termasuk saya. Apabila arahan itu diberi oleh kakak dan abang fasilitator dengan nada ‘tegas’, ‘mengancam’ dan ‘mengejek’, maka ramailah yang ‘blurr’ ini tewas dan hanya mengikut arahan.

Walaupun saya terpaksa berada dalam majlis itu, tapi, Alhamdulillah, saya memang tidak menjadi MC yang baik – bahkan kata kakak-kakak saya telah merosakkan majlis dengan ‘kelesuan’ suara dan ayat-ayat saya sepanjang mempengerusi ‘cultural night’ itu.

Tapi, yang paling saya sedih ketika itu adalah apabila melihat orang-orang yang awalnya ‘menentang’, akhirnya hanyut sekali dengan majlis tari menari itu. Seronok katanya – ya lah, ramai yang baru sedar diri ‘berbakat’ menari! *_*

Bagaimana sepatutnya saya bertindak?

Hari ini, bila saya fikir-fikirkan kembali, saya terfikir, sepatutnya saya tinggalkan aja majlis itu. Tidak ada guna lansung pada saya – bahkan mengotorkan hati saya saja. Boleh aja saya lari ke tandas ke.. ke mana-mana ke... dan kemudian menghilang diri terus. Orang berimankan sepatutnya cerdik.

Sungguh, saya sepatutnya saya tak perlu takut dengan ancaman-ancaman orang-orang itu. Siapa mereka untuk mengancam kita? Saya sedari hal ini setelah saya tahu bahawa arahan ‘tarian’ itu bukanlah disetuju oleh semua pihak – hanya pihak-pihak tertentu yang tidaklah berpengaruh sangat di institut ini.

Pengajarannya?

Jangan takut dengan gertakan-gertakan kecil orang-orang yang hatinya ‘lalai’ itu. Marah mereka tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan MURKA ALLAH swt.

Hikmah peristiwa itu ialah, saya semakin berawas dengan saluran arahan. Bahkan, saya cuba sedaya upaya supaya berusaha untuk mengubah ‘keadaan’ itu. Program-program orentasi akan datang (sepanjang saya ada), saya cuba pastikan (mengikut kemampuan saya) slot itu dimansuhkan dan digantikan dengan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk dunia dan akhirat para pelajar. Dan, Alhamdulillah, 2 tahun selepas itu, kelab tarian (penganjur slot tersebut) di tempat saya belajar dimansuhkan atas ketidakwujudnya komitmen daripada pelajar-pelajar, baik daripada senior, mahupun junior.

Pengalaman 2 – teman serumah daripada pelbagai latar belakang

Boleh bayangkan setiap hari mendengar (atau lebih tepat ‘terdengar’) gossip, umpatan dan ejekan baru terhadap orang sekeliling, baik lelaki mahupun perempuan?

Boleh bayangkan setiap hari dihidangkan dengan pelbagai jenis music sekuat-kuatnya dirumah setiap hari atas alasan ‘for fun’ dan ‘happening’?

Boleh bayangkan setiap hari topik perbincangan di rumah hanyalah terkait ‘celebs’, movies, dan boyfriends?

Dan, akhir sekali, boleh bayangkan juga apabila setiap hari pakaian teman-teman di rumah semuanya melebihi batasan aurat sesama wanita atas alasan ‘suka hati akulah’?

Subhanallah, pada saya (ketika itu), memang mencabar dan tercabar.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang hajat pada Islam. Saya disekolahkan di sekolah yang hajat membina pemudi-pemudi yang bermanfaat pada Islam. Tentu saja anda boleh bayangkan bagaimana suasana latar-belakang hidup saya sebelum ke IPT, bukan?

Namun, takdir ALLAH telah menetapkan untuk saya keluar daripada kepompong ‘indah’ itu, sejurus saya masuk ke alam IPT. Takdir ALLAH telah menetapkan untuk saya belajar berhadapan dengan pelbagai karenah manusia di alam realiti, yang menjadi mangsa kepada didikan sistem yang tidak berpaksikan Tauhid kepada ALLAH swt. Takdir ALLAH telah menetapkan saya untuk bersama dengan manusia-manusia yang luar imiginasi saya sebagai ‘housemate’ saya. Alhamdulillah, pengalaman yang sangat-sangat mendidik.

Maka, bagaimana saya menghadapinya?

Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAh yang memberi saya kekuatan. Tanpa rahmat kasihNya, pasti saya telah lama tewas dengan nafsu. Pesanan murabbi dan murabbiyah dijadikan panduan dalam berhadapan dengan teman-teman baru ini. Kata murabbi;

“Jangan marah, itu nafsu. Jangan benci, itu nafsu. Tapi, marah dan benci kepada sistem yang mencorakkan mereka, bukan pada mereka. Mereka adalah mangsa. Mungkin awak adalah orang pertama yang masih cintakan Islam yang mereka baru kenal selama mereka hidup. Mungkin awak adalah orang yang pertama yang masih ingin mempertahankan sahsiah Islam yang baru mereka temui selama ini.”

“Bersabar dan berbuat baiklah yang mana mampu. Ingat bagaimana dakwah baginda Rasulullah s.a.w. kepada masyarakat Arab yang lebih dasyat ketika itu. Kasih sayang – itu kuncinya. Santuni semua teman-temanmu kerana ALLAH dan dalam masa yang sama, carilah hati-hati yang masih berhajat kepada Islam di celah-celah pekatnya suasana jahiliyah itu. Insya-allah, kamu akan memperoleh pengalaman paling berharga dalam hidup!”

Usah dikatakan berapa ‘gelen’ air mata yang ditumpahkan untuk belajar bersabar dan belajar berkasih sayang dengan teman-teman baru. Ya, kita ada ‘hak’ untuk memperoleh suasana yang ‘kondusif’, tapi bagaimana kita meminta ‘hak’ kita dengan hikmah dan penuh cinta, tanpa melukai mana-mana individu. Ya, kita IZZAH dengan ISLAM anugerah ALLAH buat kita, tapi bagaimana kita menterjemahan ISLAM itu mengikut SUNNAH Rasul yang penuh Indah dan Hikmah itu, agar sampai ke hati-hati mereka dengan izinNya.

Lantas, hampir pekak telinga saya kerana sentiasa menyumbat ‘earphone’ dendangan AL-Quran dengan volume maximum untuk ‘counter’ situasi-situasi di atas. Sedaya upaya saya lazimkan senyuman, mengambil berat hal-hal umum seperti kesihatan, makan dan study mereka dan mendahulukan pandangan dan kesukaan mereka dalam perkara-perkara yang tidak melanggaar syara’. Harapan saya ketika itu hanyalah satu - membina jambatan hati, mudah-mudah risalah CINTA-NYA beroleh ruang untuk disebarkan.

Berkesankah ‘approach’ begitu?

Walaupun saya tidak lihat ‘natijah’ usaha ini dalam tempoh setahun dua. Namun begitu, Alhamdulillah, tiga empat tahun selepas itu, kesannya kelihatan semakin jelas. Biarpun saya telah berpindah rumah, biarpun saya tidak lagi bersama mereka, hubungan hati dan kasih sayang antara kami tetap mekar. Dan, tentunya, lebih menggembirakan lagi, beberapa daripada mereka hari ini menjadi teman dakwah saya. Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH, Rabb dan ILLAH yang MAHA HEBAT.

Pengajarannya?

Memetik sepotonh kata hikmah yang sering memberi inspirasi pada diri;

‘Orang-orang beriman merindukan suasana iman dan ukhuwwah, maka mereka berusaha membinanya.’

Tak semestinya dengan hujjah yang berapi-api, anda bisa memenangi hati-hati manusia. Kadangkala, hanya berbekal hati yang sarat CINTA, ditambah pula sedikit ILMU dan KEPERIBADIAN ISLAM yang SYUMUL, anda mampu menghidupkan suasana dakwah di tempat anda... insya-allah... PERCAYALAH!


*****************************************************************

[insya-allah... akan bersambung dengan Pengalaman 3 dan Pengalaman 4]