Saturday 19 May 2012

Cetusan hati: sayangnya Allah pada wanita


Kasih Sayang Allah pada hamba-hambaNya amatlah luas



Pejam celik pejam celik, sudah 3 bulan blog ini tidak dapat di’update’.  

Bukan tidak ada yang ingin dikongsikan di sini, tetapi selalunya hajat untuk berkongsi terpaksa dipendamkan dan dipadamkan sahaja, demi mengelakkan hati kecewa.

Sungguh dunia kerjaya sebagai seorang ibu dan surirumah sepenuh masa yang kini saya berkecimpung di dalamnya amat menuntut ‘mujahadah’ yang tinggi setiap masa dan ketika. Celik mata fikir nak masakkan apa untuk zauji habeebi, nak kemas rumah, nak uruskan hal baju-bajuan, dan yang paling penting nak melayan, menyusu dan mendidik si kecil ‘Aliyah  Mukhlisah kami. Terkadang jasad berasa amat letih, tetapi hati berbahagia saat melihat kekasih-kekasih di sisi, zauji dan ‘ameerati tersenyum ceria bahagia. Alhamdulillah.

Semua itu membuatkan diri semakin menyelami hikmah sabda baginda terkait amal-amal afdhal seorang wanita, seperti sabda yang mafhumnya;
‘Sebaik-baik tempat solat untuk seorang wanita ialah di rumahnya.’

Dahulu, semasa saya seorang ‘bujang senang’, tanpa suami dan tanpa anak saya amat gemar ke masjid atau surau untuk solat di sana atau mengikut program2 islami. Kemudian, setelah berkahwin dan belum dikurniakan anak, saya masih tetap suka mengikuti suami ke masjid atau ke mana sahaja program islami yang dia hadiri. Semua itu membuat saya berasa semakin dekat dengan Rabb saya. Suasana rumah ALLAH yang menenangkan sering menjadi motivasi untuk saya luangkan masa untuk ke sana.

Namun, kini kehidupan saya telah berubah. Semenjak hadirnya ‘Aliyah Mukhlisah dalam hidup saya, pergerakan saya menjadi semakin terbatas. Saya tidak dapat lagi keluar ke mana-mana semudah dahulu. Perlu saya fikirkan banyak hal terutama sama ada tempat tersebut sesuai menerima kehadiran ‘Aliyah Mukhlisah atau tidak. Saat itu, barulah saya teringat-ingat hadith baginda di atas. Rupa-rupanya hadith itu tanda betapa Allah dan Rasul mengasihi dan mengasihani seorang wanita.

Pada saya, seolah-olah, melalui sabda Rasul, Allah Yang Maha Baik seperti berkata begini kepada kaum wanita, terutama ibu seperti saya, ‘usah gusar hai ibu, tempat yang paling baik untuk kamu ialah di rumah. Walaupun kamu tidak mampu keluar untuk menyertai mereka di masjid sana, kamu tetap beroleh pahala yang besar walaupun kamu hanya tinggal di rumah ini.’  

Mengalir air mata saya saat teringatkan hadith tersebut. Maha Suci Allah yang Maha Baik kepada setiap hamba-hamba-Nya. Betapa sebenarnya Allah memberi ruang pada seorang wanita yang kebanyakannya memikul ‘tugas’ yang berat di rumah masing-masing untuk terus membuat sesuatu yang ‘AFDHAL’ di sisi Allah, walaupun mereka tidak mampu untuk keluar dari rumah mereka.

Demikianlah sedikit perkongsian saya saat ini. Semoga saya dan kamu beroleh manfaat daripadanya. Mohon doakan saya agar terus menjadi hamba Allah yang Ikhlas, sabar dan syukur dalam melalui fasa hidup sebagai seorang isteri dan ibu. Benarlah kata orang, semakin kita melangkah jauh dalam hidup ini, semakin kita terasa diri ini kerdil. Maha Suci Allah yang Maha Hebat. Pengetahuan Allah, Kasih Sayang Allah dan Rahmah Allah sungguh melampaui pengetahuan, kasih sayang dah rahmah sesiapapun di dunia fana ini.

Wallahua’lam.




Sincere Servant,
Kota Bharu, Kelantan

Monday 13 February 2012

Kembali Berdarah...


Syria kembali berdarah
“A’ddish Hai?” tanya saya kepada penjual di Suuq Hamidi itu.
“Khomso lera.” Jawabnya.
“Aiwah…” balas saya sambil membelek-belek kain-kain jualannya.
**********

“Awak cantik” Kata ibu kepada dua orang anak kepada saya dalam bahasa arab Syria.
“Er.. terima kasih. Tetapi, ntum lebih cantik.” Balas saya pantas.
“Saya suka lesung pipit awak! Kami tiada.” Katanya sambil jarinya memegang pipinya.
“Oh, orang Syria pun suka lesung pipit ke?” getus hati saya.
**********

“Ya banaat, ya banaat!” panggil seorang pakcik.
“Ya, kenapa?” tanya kami kepadanya.
“Mari ambil barang dalam kedai pakcik. Ambillah banyak mana yang kamu perlu. Hari ini hari saya bersedekah.” Kata-katanya yang mengejutkan saya.
************

Masih terbayang-bayang kenangan berkelana selama 1 bulan di bumi D-masq, Syam penuh barakah itu. Lorong-lorongnya yang agak sempit, rumah-rumahnya yang bertingkat-tingkat dan agak berserakan, masjid-masjidnya yang sangat berdekatan, orang-orangnya yang pemurah dan peramah serta suasana ilmunya yang indah.

Subhanallah. Kenangan itu kini menjadi sangat mahal. 

Kerana selepas ini, mereka yang ke bumi itu mungkin tidak lagi bertemu mereka yang saya temui. Lantaran tidak pasti, bagaimana keadaan mereka saat ini? Apakah mereka yang menyantuni saya dahulu masih hidup, atau telah syahid dibunuh oleh Rejim Assad yang kejam. Sungguh, mengenangkan itu hati menjadi haru-biru. Semoga Allah melindungi mereka daripada kekejaman Toghut di bumi itu.

Bumi itu kembali berdarah


Sebelum saya pergi ke bumi Syam, saya mencari sedikit sebanyak maklumat tentang bumi itu. Ketika itu, baru saya tahu, tanah itu sering disirami darah umat Islam. Bermula daripada zaman bani Umaiyah dan Abasiyah, sehinggalah zaman penjajahan Perancis. Dan, hari ini, bumi anbiya’ itu kembali berdarah lagi.

Kali ini bukan kerana kuasa luar, tetapi dek kerana kekejaman mereka pihak pemerintah dan tentera Syria sendiri. Mereka yang berwajah manusia arab suria, tetapi berhati lebih zalim daripada binatang. Mereka yang mengaku ‘Muslim’ tetapi lebih kejam daripada orang-orang yang mengisytihar diri Kaafir.


 ZALIM tak kira kepada yang tua, yang muda, wanita, kanak-kanak 
- semua dibunuh degan KEJAM

Anak berusia 6 bulan ini dipenggal kepalanya oleh tentera rejim Assad.  

"AKU ADALAH ANAK YATIM..HAFEZ (AL-ASAD) TELAH BUNUH DATUK AKU,BASYAR TELAH BUNUH AYAH AKU"

Sungguh ZALIM.

KeZALIMan mereka sungguh-sungguh Luar Biasa.

Seperti lebih ZALIM daripada kisah-kisah derita palestina yang saya dengar dan ikuti.

‘Pak Long’ mereka

“Maryam tengok tempat tu.” Kata kak Ida sambil menunjukkan pada beberapa tentera yang sedang berkawal.

“Kenapa kak?”

“Bawah mereka tu, ada penjara bawah tanah bertingkat-tingkat. Tempat mereka siksa orang-orang yang menentang Pak Long.”

“Pak Long?”

“Oh, sini panggil pak long kepada pemimpin tertinggi mereka…”

“Kenapa?”

“Sebab mereka ni macam disuruh mempertuhankan pemimpin mereka. Tak boleh kritik lansung. Apa sahaja yang Pak Long mereka buat, semua mesti kata BAIK dan BETUL. Kalau kritik, terus masuk penjara. Kalau dah masuk penjara tu.. jangan harap la nak boleh keluar dah.. bertahun-tahun dok merengkok bawah tanah tu. Kalau tak pun, innalillahi wa inna ilaihi raaajiuuun.”

“Masya-allah. Zalimnya. Kalah kezaliman di Negara barat.”

“Akak berani kata, sebab akak pernah teman seorang akhowat Malaysia pergi ambil suaminya yang disumbat dalam penjara bawah tanah tadi tu tanpa diusul periksa.”

“Ha? Orang Malaysia? Apa kesalahannya?”

“Ntah… ada salah faham tentang jual beli apa tah.. tapi, tak de perbicaraan apa, terus polis tangkap masuk dalam penjara tu. Alhamdulillah la orang tu warganegara Malaysia, mereka tak berani nak buat apa sangat. Itu pun, setelah 3 bulan baru boleh lepas.”

“Kesian tau suami akhowat tu. Jadi kurus kering sangat… badanpun bongkok sikit.. and dia tak boleh tengok cahaya... sebabnya terlalu lama duduk dalam penjara bawah tanah… Hish.. bayangkan orang yang bertahun-tahun duduk dalam tu. Ngeri.”

“Subhanallah…. Kesiannya….”

“Kalau nak diceritakan..banyak lagi kezaliman Pak Long mereka dan kuncu-kuncunya… balik nanti, maryam cuba cari tentang tragedi berdarah di Hama. Sebak sangat kalau tahu…”

Itulah antara dialog saya dengan kakanda yang banyak membantu saya sepanjang saya merantau di bumi Damsyik itu. Sungguh, hari ini, terbukti secara nyata akan  kezaliman pemerintah Syria itu, Bashar Assad, mewaris kezaliman ayahnya Hafez Assad.

Kezaliman mereka

Tak terungkap saya akan apa yang sedang berlaku di bumi Syam kini. Lantas, saya sertakan video 14 minit ini untuk menjadi 'Summary' kepada situasi berdarah itu.


Selain itu, saya sertakan Khutbah Jumaat oleh Sheikh Muhammad Al-Arifi, seorang professor di King Saud University setelah beliau pulang daripada melawat kem pelarian rakyat Syria di sempadan.


Tak mampu untuk menulis dengan lebih detail, saya petik juga sedikit maklumat tentang situasi di bumi Syam yang diringkaskan di blog http://qaniahmawaddah.blogspot.com

Apa yang perlu kita tahu berkenaan isu yang berlaku di Syria, antaranya ialah :

1) Siapakah Bashar Asad yang sebenarnya? 

Basyar Assad merupakan anak kepada Hafez Assad yang sangat dikenali dengan kejam sejak rejim ini memerintah Syria. Sejak kecil Basyar Assad diajar oleh ayahnya membunuh bayi. Pada tahun 1982, peristiwa yang berlaku di HAMA hampir 40,000 rakyat Syria mati dibunuh oleh regim Assad. Selepas itu mereka berterusan melakukan kekejaman terhadap rakyat Syria.

2) Apa hubungan Rejim Syria dengan Iran? 

Rejim Syria dan Syiah Iran menjadi sekutu yang kuat sejak sekian lamanya. Hal ini kerana bagi menjamin Syiah terus berkembang. Ia juga diketahui umum setelah Khamainie Iran membuat kenyataan terbuka menyokong Assad. Beberapa insiden ketika rakyat Syria melarikan diri ke Lubnan, Hizbullah menghalang dan menembak mereka. Tentera Iran pula ditempatkan di bumbung-bumbung rumah sebagai penembak tepat.

3) Apa hubungan Rusia dan China dengan Assad sehingga mereka menggunakan VETO menghalang usul bagi memberi tekanan kepada rejim? 

Sebenarnya mereka merupakan sekutu lama yang saling memberi sokongan terutamanya dalam kebijakan faham sosialis dan komunis mereka (tidak sama tapi hampir serupa terutama dalam menzalimi rakyat). Di samping itu juga, Rusia adalah pembekal senjata paling banyak ke Syria.

4. Apa pula hubungan
 Rejim Syria dengan Israel?

Secara zahirnya kita akan melihat mereka bertindak sebagai anti israel, US, Barat dan memberi ruang dan kesempatan kepada Hamas menentang Israel. Dakwaan ini meleset ketika ditemukan fakta yang menyatakan bahawa Assad telah melakukan kesepakatan sulit dengan Israel dalam isu yang berkaitan dengan Bukit Golan dan lain-lain. 

Assad mendapat imbalan yang besar dari pakatan sulit ini dan dibantu oleh US. Apakah logik bagi sebuah kerajaan yang punya kekuatan tentera dan berada bersempadanan dengan Israel termasuk Iran duduk diam terhadap kekejaman Israel tehadap saudara mereka di Gaza. Manakala menyerahkan Bukit Golan kepada Israel tanpa ada sebab yang munasabah.

(Nota : Maklumat ini diambil daripada penceritaan sendiri oleh rakyat Syria yang diperolehi oleh seorang rakyat Malaysia yang ke Syria baru-baru ini)


Penutup


Sabda Rasulullah SAW mafhumnya bermaksud, "Barangsiapa yang berpagi tanpa mengambil tahu tentang umatku, dia bukan di kalanganku." 


Sekian, semoga perkongsian sedikit ini membuka mata dan hati kita untuk terus mendoakan saudara-saudara Islam kita di bumi Syam sana. 


Semoga Allah mengampuni kejahilan dan kelemahan kita. 


Wallahua'lam. Wassalam wbt.


Sincere Servant


Kota Bharu, Kelantan






Sumber;


Facebook Rakyat Malaysia bersama Revolusi Syria
Facebook Like for Syria
Facebook Save Children of Syria
Ikram.org.my





Friday 10 February 2012

Kelahirannya...

Kehadirannya benar-benar menambahkan keindahan 
warna-warna cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga kami. 

“Sayang, sayang percaya tak sayang dah jadi ibu sekarang?” tanya zauji mengusik.

Saya memandangnya sambil tersenyum. Ya, memang sukar nak percaya.

Masih teringat-ingat keadaan diri yang masuk ke bilik bersalin Hospital Kota Bharu tanpa sedikitpun ‘mindsetting’ untuk bersalin pada hari tersebut. Mana taknya, ketika itu saya belum berasa sebarang sakit. Pagi itu, zauji diajak ke hospital kononnya hanya untuk memastikan kandungan dalam keadaan baik setelah awal pagi tadi saya dapati diri saya basah dengan cecair yang saya tak pernah lihat sebelum-sebelum ini.

Namun ketika dalam bilik bersalin, tanpa diduga saya dapati kes saya kelihatan diberi perhatian sekali oleh doktor-doktor di situ. Seorang demi seorang doktor, termasuk pakar datang memeriksa keadaan saya. Hairan saya pada awalnya. Masih teringat diri bertanya kepada salah seorang doktor;

“Maaf, doktor. Nak bertanya serius ke keadaan saya ni? Kenapa ramai sangat doktor datang cek saya?”

Sambil tersenyum si doktor pun menjawab,
“Erm.. nak kata serius tak la sangat. Cuma sedikit pelik. Jarang jadi macam ni. Air ketuban memang dah habis, tapi awak tak sakit dan ‘jalan’ memang tak buka.”

“Jadi?”

“Jadi saya perlu panggil doktor-doktor lain termasuk pakar untuk buat keputusan.”

“Keputusannya apa ya doktor?”

“Biasanya macam ni, kita memang akan segerakan pembedahan. Lagipun baby awak songsang dan ini kelahiran sulung awak.”

Saya mengangguk diam, tanda bersetuju.

Saya masih ingat, ntah kenapa, tenang sekali perasaan saya ketika mendengar penerangan doktor itu. Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH. Nikmat sekali perasaan tenang itu. Bayangkan kalau Allah tidak memberikan saya perasaan itu. Tentu saya jadi gemuruh dan jadi tak menentu. Nau’zubillah. 


 'Aliyah Mukhlisah binti 'Ali 'Irfan - 11januari 2012

Awalnya, saya dijadualkan akan masuk ke bilik pembedahan pada pukul 3 petang. Namun, dengan izin ALLAH, kes emergency datang tak berhenti-henti di bilik bedah, yang menyebabkan kes saya dikebelakangkan sedikit. Subhanallah, ketika itu, sungguh hanya pada ALLAh saya bergantung. Saya tidak risau akan diri saya, cuma saya kisahkan anak kami dalam kandungan. Tetapi, apabila doktor itu berkata,

“Jantung baby awak masih kuat, maaf sangat, kami terpaksa dahulukan mereka yang lebih kritikal.”

Alhamdulillah.. sekali lagi, ntah kenapa, hati saya masih sangat tenang. Boleh aja hati ini ingin bergemuruh ketika itu, tetapi.. Alhamdulillah.. Allah menyelamatkan saya. Hati terus tenang. Saya banyakkan berzikir.

“Biarlah mereka dahulu ya baby. Insya-allah, kalau kita utamakan orang lain yang lebih perlu, Allah akan mudahkan urusan kita. Ummi tahu, anak ummi ni kuat, insya-allah.” Bisik saya pada baby Mukhlisah (yang masih dalam kandungan).


 Mukhlisah dalam dakapan Teita Pah pada hari kelima kelahirannya


Sampailah kesakitan itu mula datang pada jam 8 malam, setelah zauj disuruh keluar daripada bilik wad.

“Subhanallah, patutlah orang kata sakit nak bersalin ni.. sakit sungguh-sungguh sakit!” getus hati saya sambil terus bermunajat dan berzikir pada-Nya.

Melihat keadaan saya, bergegas nurse yang ada di situ memanggil doktor. Hal ini kerana kalau diikutkan, pembedahan saya harus dilakukan sebelum saya berasa sakit – bimbang kelahiran songsang yang akan membahayakan bayi. Namun, dengan izin Allah bilik pembedahan masih belum kosong ketika itu.

Dalam kesakitan, saya terus menerus bermunajat kepada-Nya agar dipermudahkan urusan. Hajat saya hanya satu, moga bayi saya selamat dilahirkan walaubagaimanapun caranya.

Dengan izin ALLAh taala, tepat jam 10.15pm, saya dimaklumkan bahawa bilik OT (operation theater) telah kosong, dan giliran saya untuk dibedah telah tiba. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH yang memudahkan urusan. 

Demikianlah. Detik-detik sebelum saya bergelar ibu. Alhamdulillah, percaya atau tidak, semua itu sungguh pantas berlalu.

Tepat jam 11.13pm, sebulan yang lalu (11 Januari 2012), lahirlah seorang bayi perempuan, ‘Aliyah Mukhlisah binti ‘Ali ‘Irfan yang telah merubah seluruh kehidupan saya dan zuaji. Kini, kami bukan lagi berdua, tetapi bertiga. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Kehadirannya benar-benar menambahkan keindahan warna-warna cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga kami.

Mukhlisah manis bergaya dengan set serba pink daripada kholah Irmanya. 
Terima kasih kholah!

Harapan saya, mudah-mudahan kami suami isteri dianugerahkan kemampuan untuk sabar dan bersungguh-sungguh dalam membesarkan dan mendidik puteri kami ini (dan anak2 seterusnya) seperti mana yang dikehendaki-Nya. Sungguh anak-anak itu adalah amanah daripada ALLAH buat kami. Mudah-mudahan dia akan membesar menjadi hamba ALLAH yang taat dan cintakan keimanan dan kebaikan. Paling penting, dia bakal menjadi saham yang menguntungkan akhirat kami suami isteri, ameen, insya-allah. 

Akhir kalam, ingin saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga buat;
  • ·         Bonda tercinta – yang dahulunya bersusah payah melahirkan, menyusukan, membesarkan saya empat beradik dengan penuh kasih sayang; yang tak pernah henti-henti menghulurkan doa yang tulus buat kami anak-anaknya; yang sabar menjaga saya ketika 20 hari pertama berpantang.
  • ·         Zauji                      – yang sentiasa menghulurkan cinta dan kasih sayang buat saya; yang menemani saya setiap kali saya memerlukannya; yang sabar dalam menghadapi karenah saya sepanjang mengandung, ketika saat melahirkan dan ketika berpantang.
  • ·         Mak, Abah dan adik-adik              – yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan buat kami; yang sudi menghulurkan bantuan saat kami memerlukan; yang tak jemu mendoakan kami sekeluarga
  • ·       Doktor-doktor dan nurse di HKB – yang sabar dan masih boleh tersenyum memeriksa dan membantu saya dalam kepenatan mereka bekerja seharian
  • ·         Sahabat dan teman –  yang sudi mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga; yang hadir membantu saat kami memerlukan.

Hanya Allah yang boleh membalas segala kebaikan-kebaikan kalian kepada diri ini dan keluarga. Moga Allah mengasihi dan mengasihani kalian lebih daripada kasih sayang dan kasihan kalian kepada kami. 

p/s: saya amat mengalu-alukan perkongsian tips keibubapaan (parenting) dan tarbiyatul awlad daripada sesiapa sahaja yang sudi berkongsi. Ucapan Terima kasih tak terhingga saya dahulukan di sini.


Sekian, wallahua'lam, wassalam. 


Sincere Servant

Kota Bharu, Kelantan
10 Februari 2012