Monday, 7 November 2011

Berbekallah adik-adikku... [2]

Tanpa bekalan yang cukup, kita mungkin keliru 
kerana antara warna putih bersih dan hitam legam, terdapat pelbagai lagi warna-warna indah yang bisa menarik dan mempengaruhi kita dalam kehidupan ini.




“Ehem.. bila nak sambung tulisan ‘berbekallah adik2ku’ ni...? ^^”
Mesej pendek yang ditinggalkan seorang ukhti Muslimah di inbox fb saya memang meninggalkan bekas mendalam dalam hati saya.
Afwan kathira saya ucapkan kerana memang lama tidak menulis di sini dan di mana-manapun. Atas faktor2 kelemahan diri dek kesihatan fizikal dan kesibukan tugasan praktikal tahun akhir, saya telah mengambil keputusan untuk berhenti menulis sementara waktu. Namun, Alhamdulillah, kini segalanya kembali pulih seperti biasa. Jasad semakin baik dan fasa praktikal pun telah selesai. Insya-allah, doakan saya dapat kembali sabar dan istiqomah dalam meneruskan usaha berkongsi kebaikan melalui penulisan di alam maya ini.
Baik, kembali kepada perkongsian pengalaman yang ALLAH hadiahkan buat diri ini. Sebelum tu, elok juga saya ulang bahawa cara saya tangani tidak semestinya yg terbaik, apa yang tertulis di sini hanyanya ‘perkongsian’. Moga perkongsian ini ada manfaatnya dan menjadi salah satu sumber pengajaran untuk para akhowat yg sedang atau akan menghadapi suasana IPT hari ini.
Pengalaman 3 – Ujian ikhtilat
“Teet teet teet.” Bunyi mesej di handphone saya.
Apabila ditekan ‘baca’. Mesej yang hadir berbunyi,
“Selamat Hari Lahir, ukhti. Semoga ALLAH berkati umur kamu. -Akhi F-”
Pengirimnya saya kenal – AJK surau. Tanpa bertangguh, saya terus men’delete’ mesej itu. Tak ingin saya menyimpan, apalagi membalas mesej-mesej seperti itu.
**************
Teringat untuk online di ‘friendster’ (zaman tu friendster – facebook tak famous lagi). Check friend request, 10 – semuanya lelaki, ada yang sekelas, budak surau, dan ada yang memang tak dikenali. Segera saya men‘DELETE’ semuanya tanpa ragu-ragu.
**************
“Maryam, saya suka awaklah. Untung sapa dapat awak.”
Terkejut saya mendengar kata-kata salah sorang lelaki, rakan sekelas saya itu. Namun, untuk menjaga hati saya dan suasana, saya beristighfar dan mengabaikan kata-katanya itu sambil meneruskan kerja-kerja saya. Mungkin dia malu sendiri, diapun diam dan meneruskan tugasannya juga.
*****************
Ya. Itulah antara cabaran yang saya hadapi terkait manusia yang bernama ‘lelaki’ sepanjang saya di IPT. Dan, saya pasti akhowat yang sedang membaca tulisan ini juga ramai yang menghadapinya, kan? Seperti mana kita sedia maklum. Ruang ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan) di IPT tempatan lazimnya terbuka seluas-luasnya. Atas nama dan faktor yang pelbagai, seringkali soal ikhtilat ini diambil mudah oleh kebanyakan pelajar, baik yang aktif dalam gerakan dakwah islam, apalagi yang sememangnya sedang lalai.
Pada saya, sebagai seorang Muslimah yang berusaha menjaga apa yang ALLAH kehendaki, insya-allah, kita berkemampuan untuk meminimumkan pergaulan antara kita dengan para lelaki seminimum mungkin, kiranya kita berkehendak tinggi.
Sepanjang saya di IPT tempatan, peluang untuk meminimkan pergaulan dengan kaum lelaki lebih besar. Kalau dalam kelas yang ramai lagi terdapat teman-teman perempuan, apalah salahnya kita memilih untuk berkumpulan atau berbincang dengan mereka daripada sengaja membuka diri kepada rakan sekelas yang lelaki. Kalau berurusan di luar kelas untuk apa-apa faktor sekalipun, lazimkan berteman (muslimah) dan fokuskan dan ringkaskan perbualan pada urusan tersebut sahaja.
Namun begitu, cabaran ikhtilat hari ini tidak hanya di alam ‘real’, ramai juga yang tertipu tentang ikhtilat di alam maya dan alam ‘handphone’. Oleh itu, seingat saya sepanjang saya di IPT tempatan, saya mengambil pendekatan ‘DELETE’ dan TIDAK MEMBALAS semua mesej di handphone atau di alam cyber yang tidak ada kene mengena dengan ‘urusan’ yang dibenarkan syara’.
ABAIKAN. ABAIKAN semuanya yang mungkin mencemarkan hati kamu, wahai akhowat tersayang. Insya-allah, Jagalah ALLAH, ALLAH pasti menjaga kamu. Wallahualam, tindakan saya benar atau salah. Tetapi, Alhamdulillah, melalui cara itu, saya berjaya meminimumkan peluang untuk terbukanya ruang ikhtilat yang boleh dimanfaatkan oleh syaitan laknatullah.
Seingat saya, berhadapan dengan para lelaki yang kurang pendedahan pada islam dan hukum-hukumnya lebih mudah daripada mereka yang suka menggunakan nama ‘islam’. Saya paling benci kepada mereka yang menggunakan alasan-alasan ‘ISLAMIK’ untuk berhubung. Atas nama ‘UKHUWWAH’ lah, atas nama ‘KESATUAN PENGGERAK ISLAM’, atas nama ‘SYAKHSIAH ISLAM yang MESRA SEMUA’ dan apa-apa lagi, ramai yang menggadaikan prinsip asal yang ISLAM gariskan terkait IKHTILAT.
Pernah satu hari, saya dimarah oleh seorang ‘penggerak surau’ yang sering menggunakan istilah-istilah tersebut untuk ber’ikhtilat’. Note: lelaki.
“Eh, Maryam. Apasal awak ni sombong sangat ya? Awak ingat, awak bawa ISLAM dengan macam tu?” katanya dengan nada yang begitu tegas dan kuat.
“Maaf, sombong? Saya sombong dengan siapa ya? Ada saya sombong dengan awak (teman Muslimah)?” saya buat-buat bertanya pada teman Muslimah di sebelah saya, malas nak melayan si lelaki yang bertanya.
Teman muslimah saya menggelengkan kepala. “Tak. Awak tak sombong pun.” Jawab dia ringkas sambil tersenyum melihat gelagat lelaki itu.
Melihat respon si lelaki yang ‘blurr’, saya pun menambah. “Oh, maksud awak saya sombong dengan awak ke? Saya tak sombong dengan awak. Tapi, maaf saya memang tak boleh mesra dengan awak. Bukan awak saja. Awak dan kawan-kawan awak.”
“Kenapa pulak? Saya kan saudara Muslim awak?”
“Ya. Awak saudara Muslim saya. Saya tunaikan hak awak. Saya tidak mengeji awak, saya tidak mencerca awak dan saya tidak buat apa-apa pada awak. Itu tanda saya hormat awak sebagai saudara Muslim. Tapi, untuk ‘mesra’ seperti saya mesra dengan teman-teman Muslimah saya. Maaf. Setahu saya, itu bukan yang islam ajar.”
Dia terdiam. Tetapi, berwajah tidak puas hati.
“Maaf. Saya pergi dulu. Oh ya, pada saya, ‘Yang Baik adalah apa yang syara’ kata Baik. Dan Yang Buruk adalah apa yang Syara’ kata buruk.’ Jadi, saya mohon maaf kalau pada awak cara saya ini tidak baik. Tapi, pada saya, saya hanya mengikut syara’. Terima kasih.”
“Eh, kejap. Syara’ tu apa?” tanya dia.
Saya dan teman muslimah saling berpandangan. Fahamlah kami bahawa si lelaki tersebut masih banyak belum tahu, tetapi sering menggunakan istilah-istilah ‘islamik’ untuk menghalalkan pergaulan sehariannya. Malas untuk membuka ruang diskusi yang lebih panjang, saya dan teman terus saja meninggalkan dia dengan persoalannya.
Pengalaman 4 – Turun naiknya akedamik
Sepanjang di bangku sekolah, saya ialah seorang pelajar yang agak ‘exam-oriented’. Saya akan buat apa sahaja untuk mendapatkan ‘A’ dalam kesemua mata pelajaran saya untuk setiap kali peperiksaan. Oleh itu, kebiasaannya, saya berada di kalangan pelajar ‘top scorer’ dalam mana-mana mata pelajaran daripada sekolah rendah sehinggalah habis SPM.
Namun, masuk ke alam IPT, segalanya berubah. Sepanjang saya di fasa persediaan, seringkali saya menangis apabila mendapat keputusan. Usahkan A, untuk mendapat B dan C pun pada saya sangatlah susah. Ya, mungkin kerana bidang yang saya ceburi ini menuntut suatu standard pemikian yang saya tidak pernah capai ketika di zaman sekolah. Subhanallah.. awalnya, sungguh saya berasa amat-amat susah.
Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, tatkala teringatkan niat asal saya mengambil bidang TESL ini, saya jadi bersemangat kembali. NIat saya cuma satu – membantu para pelajar saya menjadikan English Language sebagai jalan mendekatkan diri mereka dengan ALLAH dan mengajak manusia kepada-Nya. Dengan itu, saya jadi bersemangat kembali untuk buat yang terbaik. Bersemangat untuk mencari jalan ; menguasai ilmu ini. Insya-allah, saya yakin, jika permulaan kita adalah permulaan yang benar, insya-allah ALLAH SWT sentiasa bersama kita.
Selain itu, nasihat bondalah yang sering menjadi api pembakar semangat dan kesungguhan untuk buat yang terbaik. Bonda tak pernah jemu untuk memujuk saya untuk terus bersabar dalam menuntut ilmu. Bonda selalu memperingatkan tentang kepentingan ‘sikap’ saya dengan ilmu itu sendiri, berbanding dnegan ‘markah’ yang saya peroleh. Ya. Sikap. Itu kuncinya. Insya-allah, kiranya sikap kita benar, lambat laun, kita akan meningkat juga, insya-allah. Sikap tak suka bertangguh, sikap buat sehabis baik, sikap merendah diri, sikap berkongsi ilmu, sikap suka bertanya semua itu amat penting kepada kita sebagai seorang pelajar. Dan hal inilah yang saya pelajari sepanjang mendaki tangga akedamik ini.
Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH. Allah memberi saya peluang untuk merasai peningkatan dalam bidang akedamik saya, terutama sepanjang saya di luar negara. Benarlah, ‘A’ atau markah yang tinggi itu tidaklah susah mana untuk kita capai walaubagaimana susahpun bidang kita, selagi mana kita tidak pernah berputus asa dengan rahmat kasih sayang ALLAH swt serta tidak jemu berusaha yang terbaik.
Oh ya, paling menarik terkait dengan akedamik. Dengan izin ALLAH, walaupun saya ini awalnya boleh dikatakan termasuk dalam golongan ‘low scorer’, saya agak pelik apabila mereka yang ‘top scorer’ selalu datang berjumpa saya untuk meminta nasihat. Apabila saya tanyakan hal ini kepada mereka, kebanyakan mereka berkata,
“Saya perlukan motivasi yang ada pada awak.”
Atau
“Saya hairan. Saya dapat markah tinggi, tapi saya resah, tak tenang. Bagaimana mahu jadi setenang awak?”
Apabila saya muhasabah. Saya sedar, bukanlah saya punya apa-apa yang boleh mereka ambil daripada saya. Tetapi, yang mungkin saya ada, sedangkan mereka masih mecari ialah HUBUNGAN DENGAN ALLAH swt. Tarbiyah Imaniyah yang saya lalui sepanjang hidup saya mengajar saya CUKUPLAH HANYA ALLAH tempat saya bergantung, CUKUPLAH ALLAH tempat saya mengadu dan CUKUPLAH HANYA ALLAH tempat saya memohon pertolongan.
Oleh itu, pada saya, mungkin kesan tarbiyah imaniyah itulah yang menghasilkan tamayyuz antara saya dan mereka dalam berhadapan dengan masalah-masalah hidup terutama dalam bidang akedamik. Ya, percayalah akhowat muslimah, kewujudan hubungan terus dengan ALLAH SWT dalam hati kita dalam semua keadaan benar-benar memberi kita ketenangan hati yang menjadi sumber motivasi tertinggi dalam berhadapan dengan apa sahaja cabaran hidup, termasuk cabaran akedamik. Seperti sabda Rasul s.a.w, mafhumnya;
"Sungguh ajaib pada urusan orang mukmin. Sekiranya dia berhadapan dengan kesenangan, dia bersyukur, dan sekiranya dia berhadapan dengan kesukaran, dia bersabar. Sungguh hal ini tidak mungkin terdapat pada orang lain selain daripada seorang mukmin." 
Kesimpulan
Demikianlah antara cabaran-cabaran yang saya tempuhi sepanjang saya bergelar pelajar IPT. Jujurnya kebanyakan cabaran ini adalah berdasarkan pengalaman saya belajar di dalam negara. Moga perkongsian pengalaman di atas membantu adik-adik beroleh sedikit sebanyak gambaran realiti di IPT serta bentuk-bentuk bekalan dan tindakan yang mungkin boleh diambil dalam menangani cabaran-cabaran yang sedang adik-adik lalui ketika ini.
Ingatlah adik-adik Muslimah yang dikasihi kerana ALLAH, kita ini hidup untuk diuji seperti mana firman ALLAH swt dalam surah Al-Mulk, ayat 1 dan 2:
“Maha suci ALLAH yang menguasai (segala) kerajaan, dan DIA Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Yang menciptkan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa yang terbaik amalannya. Dan DIA Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Dan pokok kepada persiapan menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup ini adalah dengan berbekal.Dan ketahuilah, tidak ada bekalan yang lebih baik selain IMAN dan TAQWA kepada ALLAH swt.
“... Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal”. (Al-Baqarah: 197)
Nak tahu lanjut tentang TAQWA?
Boleh cari Kitab ‘menuju ketaqwaan’ tulisan Dr. Abdullah Nasih Ulwan.
atau sedikit perkongsian di sini
Maka, ayuh sama-sama kita persiapkan bekalan TAQWA untuk melalui ujian citrawarna kehidupan ini.
Sekian, maaf atas segala kekurangan dan kelemahan. Moga ALLAH redha dengan perkongsian ini.
Wallahua’lam.




Sincere Servant,
Sungai Kechil, Nibong Tebal


p/s: syukran zauji habeebi kerana tak jemu-jemu memberi sokongan dan bantuan untuk saya terus sabar dalam medan penulisan online ini. Moga allah sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya buatmu lebih-lebih lagi daripada kasih sayang yang dikau curahkan buatku.  

Thursday, 2 June 2011

Berbekallah, adik-adikku... [1]

Kehidupan dunia IPT yang penuh CITRAWARNA yang tersendiri.


“Assalamua’laikum akak. Alhamdulillah, saya dapat IPG. Doakan saya.”

“Salam akak. Alhamdulillah, saya dapat asasi UiTM.”

“Salam kak. Saya akan ke KTD, insya-allah.”

Satu demi satu mesej daripada beberapa adik-adik lepasan SPM yang saya kenal masuk ke telefon bimbit. Semua mereka berkongsi keputusan dan tawaran IPT yang mereka peroleh. Nada mereka gembira – mungkin mereka dapat apa yang hajati. Alhamdulillah.

Sebagai seorang kakak, tentu saja saya tumpang gembira melihat mereka gembira. Namun begitu, jauh di sudut hati, saya tetap berasa bimbang. Bimbang mengenangkan bagaimanakah adik-adik ini nanti tatkala berhadapan dengan pelbagai cabaran di alam baru? Alam IPT yang mana disebut oleh Sheikh Imam Maududi sebagai ‘tempat penyembelihan iman-iman para pemuda Islam’ – sungguh ‘horror’ bunyinya kan?

Sambil membaca mesej-mesej mereka, tanpa di sangka, pengalaman-pengalaman peribadi sepanjang di IPTpun muncul di benak fikiran - berputar laju kisa suka, duka, pahit dan manis yang saya pernah lalui. Masya-allah. Sungguh, sememangnya saya perlu akui, kalau bukan kerana rahmat ALLAh, pasti saya sudah lama larut seperti kebanyakan manusia lain. Segala puji bagi ALLAH yang menyelematkan saya daripada fitnah yang melata.

Maka, di sini ingin saya nukilkan di sini beberapa cabaran yang paling ketara saya hadapi sepanjang belajar di alam IPT, khususnya IPT dalam Negara (note: menurut pengalaman saya, belajar dalam Negara lebih mencabar daripada luar Negara). Mudah-mudahan, ada manfaatnya kepada para pembaca, khususnya adik-adik yang sedang bersiap untuk masuk ke IPT pilihan masing-masing.

Pengalaman 1 – disuruh menari didepan khalayak

Menari? Saya disuruh menari di atas pentas, dan disaksikan oleh ramai orang??

Oh, itulah pengalaman yang paling tak dapat saya lupakan.

Cuba teka menari dengan lagu apa?

Asmaradana!

Memang pengalaman yang menyakitkan.

Walaupun, Alhamdulillah, saya berjaya ‘escape’ daripada arahan ‘jijik’ itu. Tapi, saya akui, silap saya kerana ‘tertipu’ dengan ‘garang-garang’ para fasilitator. Memang saya tak menari, tapi saya kene jadi MC untuk malam penuh ‘jahiliyyah’ itu! Sungguh, tidaklah saya harapkan melainkan pengampunan daripada ALLAh atas kelemahan saya ketika itu.

Maklumlah, peristiwa itu berlaku di akhir minggu orentasi. Seminggu pertama minggu orentasi, tentu saja ramai yang masih ‘blurr’ dengan suasana baru – dan itu termasuk saya. Apabila arahan itu diberi oleh kakak dan abang fasilitator dengan nada ‘tegas’, ‘mengancam’ dan ‘mengejek’, maka ramailah yang ‘blurr’ ini tewas dan hanya mengikut arahan.

Walaupun saya terpaksa berada dalam majlis itu, tapi, Alhamdulillah, saya memang tidak menjadi MC yang baik – bahkan kata kakak-kakak saya telah merosakkan majlis dengan ‘kelesuan’ suara dan ayat-ayat saya sepanjang mempengerusi ‘cultural night’ itu.

Tapi, yang paling saya sedih ketika itu adalah apabila melihat orang-orang yang awalnya ‘menentang’, akhirnya hanyut sekali dengan majlis tari menari itu. Seronok katanya – ya lah, ramai yang baru sedar diri ‘berbakat’ menari! *_*

Bagaimana sepatutnya saya bertindak?

Hari ini, bila saya fikir-fikirkan kembali, saya terfikir, sepatutnya saya tinggalkan aja majlis itu. Tidak ada guna lansung pada saya – bahkan mengotorkan hati saya saja. Boleh aja saya lari ke tandas ke.. ke mana-mana ke... dan kemudian menghilang diri terus. Orang berimankan sepatutnya cerdik.

Sungguh, saya sepatutnya saya tak perlu takut dengan ancaman-ancaman orang-orang itu. Siapa mereka untuk mengancam kita? Saya sedari hal ini setelah saya tahu bahawa arahan ‘tarian’ itu bukanlah disetuju oleh semua pihak – hanya pihak-pihak tertentu yang tidaklah berpengaruh sangat di institut ini.

Pengajarannya?

Jangan takut dengan gertakan-gertakan kecil orang-orang yang hatinya ‘lalai’ itu. Marah mereka tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan MURKA ALLAH swt.

Hikmah peristiwa itu ialah, saya semakin berawas dengan saluran arahan. Bahkan, saya cuba sedaya upaya supaya berusaha untuk mengubah ‘keadaan’ itu. Program-program orentasi akan datang (sepanjang saya ada), saya cuba pastikan (mengikut kemampuan saya) slot itu dimansuhkan dan digantikan dengan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk dunia dan akhirat para pelajar. Dan, Alhamdulillah, 2 tahun selepas itu, kelab tarian (penganjur slot tersebut) di tempat saya belajar dimansuhkan atas ketidakwujudnya komitmen daripada pelajar-pelajar, baik daripada senior, mahupun junior.

Pengalaman 2 – teman serumah daripada pelbagai latar belakang

Boleh bayangkan setiap hari mendengar (atau lebih tepat ‘terdengar’) gossip, umpatan dan ejekan baru terhadap orang sekeliling, baik lelaki mahupun perempuan?

Boleh bayangkan setiap hari dihidangkan dengan pelbagai jenis music sekuat-kuatnya dirumah setiap hari atas alasan ‘for fun’ dan ‘happening’?

Boleh bayangkan setiap hari topik perbincangan di rumah hanyalah terkait ‘celebs’, movies, dan boyfriends?

Dan, akhir sekali, boleh bayangkan juga apabila setiap hari pakaian teman-teman di rumah semuanya melebihi batasan aurat sesama wanita atas alasan ‘suka hati akulah’?

Subhanallah, pada saya (ketika itu), memang mencabar dan tercabar.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang hajat pada Islam. Saya disekolahkan di sekolah yang hajat membina pemudi-pemudi yang bermanfaat pada Islam. Tentu saja anda boleh bayangkan bagaimana suasana latar-belakang hidup saya sebelum ke IPT, bukan?

Namun, takdir ALLAH telah menetapkan untuk saya keluar daripada kepompong ‘indah’ itu, sejurus saya masuk ke alam IPT. Takdir ALLAH telah menetapkan untuk saya belajar berhadapan dengan pelbagai karenah manusia di alam realiti, yang menjadi mangsa kepada didikan sistem yang tidak berpaksikan Tauhid kepada ALLAH swt. Takdir ALLAH telah menetapkan saya untuk bersama dengan manusia-manusia yang luar imiginasi saya sebagai ‘housemate’ saya. Alhamdulillah, pengalaman yang sangat-sangat mendidik.

Maka, bagaimana saya menghadapinya?

Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAh yang memberi saya kekuatan. Tanpa rahmat kasihNya, pasti saya telah lama tewas dengan nafsu. Pesanan murabbi dan murabbiyah dijadikan panduan dalam berhadapan dengan teman-teman baru ini. Kata murabbi;

“Jangan marah, itu nafsu. Jangan benci, itu nafsu. Tapi, marah dan benci kepada sistem yang mencorakkan mereka, bukan pada mereka. Mereka adalah mangsa. Mungkin awak adalah orang pertama yang masih cintakan Islam yang mereka baru kenal selama mereka hidup. Mungkin awak adalah orang yang pertama yang masih ingin mempertahankan sahsiah Islam yang baru mereka temui selama ini.”

“Bersabar dan berbuat baiklah yang mana mampu. Ingat bagaimana dakwah baginda Rasulullah s.a.w. kepada masyarakat Arab yang lebih dasyat ketika itu. Kasih sayang – itu kuncinya. Santuni semua teman-temanmu kerana ALLAH dan dalam masa yang sama, carilah hati-hati yang masih berhajat kepada Islam di celah-celah pekatnya suasana jahiliyah itu. Insya-allah, kamu akan memperoleh pengalaman paling berharga dalam hidup!”

Usah dikatakan berapa ‘gelen’ air mata yang ditumpahkan untuk belajar bersabar dan belajar berkasih sayang dengan teman-teman baru. Ya, kita ada ‘hak’ untuk memperoleh suasana yang ‘kondusif’, tapi bagaimana kita meminta ‘hak’ kita dengan hikmah dan penuh cinta, tanpa melukai mana-mana individu. Ya, kita IZZAH dengan ISLAM anugerah ALLAH buat kita, tapi bagaimana kita menterjemahan ISLAM itu mengikut SUNNAH Rasul yang penuh Indah dan Hikmah itu, agar sampai ke hati-hati mereka dengan izinNya.

Lantas, hampir pekak telinga saya kerana sentiasa menyumbat ‘earphone’ dendangan AL-Quran dengan volume maximum untuk ‘counter’ situasi-situasi di atas. Sedaya upaya saya lazimkan senyuman, mengambil berat hal-hal umum seperti kesihatan, makan dan study mereka dan mendahulukan pandangan dan kesukaan mereka dalam perkara-perkara yang tidak melanggaar syara’. Harapan saya ketika itu hanyalah satu - membina jambatan hati, mudah-mudah risalah CINTA-NYA beroleh ruang untuk disebarkan.

Berkesankah ‘approach’ begitu?

Walaupun saya tidak lihat ‘natijah’ usaha ini dalam tempoh setahun dua. Namun begitu, Alhamdulillah, tiga empat tahun selepas itu, kesannya kelihatan semakin jelas. Biarpun saya telah berpindah rumah, biarpun saya tidak lagi bersama mereka, hubungan hati dan kasih sayang antara kami tetap mekar. Dan, tentunya, lebih menggembirakan lagi, beberapa daripada mereka hari ini menjadi teman dakwah saya. Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH, Rabb dan ILLAH yang MAHA HEBAT.

Pengajarannya?

Memetik sepotonh kata hikmah yang sering memberi inspirasi pada diri;

‘Orang-orang beriman merindukan suasana iman dan ukhuwwah, maka mereka berusaha membinanya.’

Tak semestinya dengan hujjah yang berapi-api, anda bisa memenangi hati-hati manusia. Kadangkala, hanya berbekal hati yang sarat CINTA, ditambah pula sedikit ILMU dan KEPERIBADIAN ISLAM yang SYUMUL, anda mampu menghidupkan suasana dakwah di tempat anda... insya-allah... PERCAYALAH!


*****************************************************************

[insya-allah... akan bersambung dengan Pengalaman 3 dan Pengalaman 4]

Wednesday, 20 April 2011

Sajak tertangguh: Hati dan susu


Semakin hari, semakin kuyakini

Benarlah, perjalanan hidup ini

Adalah perjalanan membawa hati

Untuk bertemu Yang Maha Kekal Abadi

Hati yang sejahtera, hati yang penuh redha

Janji-Nya, itulah hati yang akan diterima.


Lantas,

ku sematkan cita dan keazaman

agar dengan penuh cermat hatiku dibawa

menyusuri perjalanan kehidupan

yang ku sedar penuh pancaroba


Kata sang murabbi,

Sungguh perjalanan itu takkan pernah mudah disusuri

Ibarat aku diberi tugas membawa segelas susu

yang penuhnya terlalu

sambil perlu aku rentas sebuah sungai yang deras

dengan meniti sebatang titi yang kecil dan rapuh

Maka, apa mungkin ku lakukan?

untuk tidak biar susu itu tumpah

kerana gelas susu itu harus kupersembah

kepada yang Maha Sempurna

tanpa ada sebarang kurang dan cela


Sungguh, perlu aku sangat cermat,

Sungguh, perlu aku tingkatkan munajat

Kerana hanya dengan Cinta dan Rahmat-Nya,

aku akan terselamat

Insya-allah.


Plymouth, England, United Kingdom

16 april 2010



Setahun sudah sajak ini tertangguh untuk dikongsikan di laman ini. Tapi, tanpa tahu sebabnya kenapa, beit-beit sajak ini hadir kembali menziarahi minda dan hati sejak bangun pagi tadi. Kerana itu saya terfikir, adakah mungkin sampai masanya sajak ini perlu dikongsikan. Setelah muhasabah dan istikharah, perasaan untuk berkongsi itu semakin kuat. Moga-moga ALLAh redha. Dan, moga-moga ada manfaatnya untuk dunia akhirat saya dan kalian... Ameen, insya-allah.

Oh ya, sedikit perkongsian juga, beit-beit di atas diilhamkan ALLAH ketika dalam train perjalanan ke satu program Islam di bumi UK. Masih saya ingat, ketika itu, saya sedang bermuhasabah, merenung kembali perjalanan hidup ini, yang disusun indah oleh ALLAH swt. Dengan izin ALLAH, saya teringat nasihat salah seorang murabbi saya, Pn. Maimunah binti Hashim sebelum saya berangkat meninggalkan sekolah, untuk masuk ke alam IPT.

Ya, Itulah nasihat beliau, nasihat terkait HATI dan SUSU, yang beliau lafazkan penuh makna, sambil memandang wajah saya, dan memegang tangan saya. Dan nasihat itu menusuk ke dalam hati saya, dan Alhamdulillah, menjadi ibrah kepada saya sampai saat ini, setelah hampir 5 tahun masa berlalu. Subhanallah, itulah kesan sebuah nasihat yang ikhlas... Subhanallah, sangat rindu beliau! Semoga ALLAH rahmati dan redhai beliau dan keluarga beliau.

Apapun, semoga perkongsian pendek ini, memberi ibrah (pengajaran) dan manfaat kepada dunia dan akhirat saya dan kalian...

Wallahua'lam.

Wassalam wbt


Salam sayang kerana ALLAH,

Sincere Servant

Kuala Lumpur, Malaysia.

20 April 2011