Saturday, 19 May 2012

Cetusan hati: sayangnya Allah pada wanita


Kasih Sayang Allah pada hamba-hambaNya amatlah luas



Pejam celik pejam celik, sudah 3 bulan blog ini tidak dapat di’update’.  

Bukan tidak ada yang ingin dikongsikan di sini, tetapi selalunya hajat untuk berkongsi terpaksa dipendamkan dan dipadamkan sahaja, demi mengelakkan hati kecewa.

Sungguh dunia kerjaya sebagai seorang ibu dan surirumah sepenuh masa yang kini saya berkecimpung di dalamnya amat menuntut ‘mujahadah’ yang tinggi setiap masa dan ketika. Celik mata fikir nak masakkan apa untuk zauji habeebi, nak kemas rumah, nak uruskan hal baju-bajuan, dan yang paling penting nak melayan, menyusu dan mendidik si kecil ‘Aliyah  Mukhlisah kami. Terkadang jasad berasa amat letih, tetapi hati berbahagia saat melihat kekasih-kekasih di sisi, zauji dan ‘ameerati tersenyum ceria bahagia. Alhamdulillah.

Semua itu membuatkan diri semakin menyelami hikmah sabda baginda terkait amal-amal afdhal seorang wanita, seperti sabda yang mafhumnya;
‘Sebaik-baik tempat solat untuk seorang wanita ialah di rumahnya.’

Dahulu, semasa saya seorang ‘bujang senang’, tanpa suami dan tanpa anak saya amat gemar ke masjid atau surau untuk solat di sana atau mengikut program2 islami. Kemudian, setelah berkahwin dan belum dikurniakan anak, saya masih tetap suka mengikuti suami ke masjid atau ke mana sahaja program islami yang dia hadiri. Semua itu membuat saya berasa semakin dekat dengan Rabb saya. Suasana rumah ALLAH yang menenangkan sering menjadi motivasi untuk saya luangkan masa untuk ke sana.

Namun, kini kehidupan saya telah berubah. Semenjak hadirnya ‘Aliyah Mukhlisah dalam hidup saya, pergerakan saya menjadi semakin terbatas. Saya tidak dapat lagi keluar ke mana-mana semudah dahulu. Perlu saya fikirkan banyak hal terutama sama ada tempat tersebut sesuai menerima kehadiran ‘Aliyah Mukhlisah atau tidak. Saat itu, barulah saya teringat-ingat hadith baginda di atas. Rupa-rupanya hadith itu tanda betapa Allah dan Rasul mengasihi dan mengasihani seorang wanita.

Pada saya, seolah-olah, melalui sabda Rasul, Allah Yang Maha Baik seperti berkata begini kepada kaum wanita, terutama ibu seperti saya, ‘usah gusar hai ibu, tempat yang paling baik untuk kamu ialah di rumah. Walaupun kamu tidak mampu keluar untuk menyertai mereka di masjid sana, kamu tetap beroleh pahala yang besar walaupun kamu hanya tinggal di rumah ini.’  

Mengalir air mata saya saat teringatkan hadith tersebut. Maha Suci Allah yang Maha Baik kepada setiap hamba-hamba-Nya. Betapa sebenarnya Allah memberi ruang pada seorang wanita yang kebanyakannya memikul ‘tugas’ yang berat di rumah masing-masing untuk terus membuat sesuatu yang ‘AFDHAL’ di sisi Allah, walaupun mereka tidak mampu untuk keluar dari rumah mereka.

Demikianlah sedikit perkongsian saya saat ini. Semoga saya dan kamu beroleh manfaat daripadanya. Mohon doakan saya agar terus menjadi hamba Allah yang Ikhlas, sabar dan syukur dalam melalui fasa hidup sebagai seorang isteri dan ibu. Benarlah kata orang, semakin kita melangkah jauh dalam hidup ini, semakin kita terasa diri ini kerdil. Maha Suci Allah yang Maha Hebat. Pengetahuan Allah, Kasih Sayang Allah dan Rahmah Allah sungguh melampaui pengetahuan, kasih sayang dah rahmah sesiapapun di dunia fana ini.

Wallahua’lam.




Sincere Servant,
Kota Bharu, Kelantan